Pihak PH tak perlu campuri urusan pemilihan parti UMNO

Pihak yang tidak mempunyai kaitan, tidak perlu sibuk mencampuri atau cuba mempengaruhi proses pemilihan UMNO yang akan diadakan pada 30 Jun ini, tegas Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO.

Unit itu berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pihak pembangkang berhubung pencalonan pelbagai jawatan yang dipertandingkan dilihat sebagai cuba melaga-lagakan pemimpin UMNO.

Katanya, begitu juga dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan individu yang layak memimpin UMNO disifatkan sebagai cuba ‘menjaga tepi kain orang’ sedangkan UMNO tidak pernah mengulas mengenai parti komponen di dalam Pakatan Harapan.

“Apakah Dr Mahathir masih ‘meroyan’ dengan parti yang pernah dipimpin dan diperkudakannya selama 22 tahun?

“Begitu juga kenyataan Lim Kit Siang bahawa UMNO memerlukan pendekatan baharu untuk memulihkan imejnya.

“Kami ingin menasihatkan Kit Siang supaya memberi tumpuan kepada isu dalaman DAP dan kes rasuah dihadapi anaknya yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” ujarnya.

Tambah Unit itu, pemimpin veteran DAP itu perlu akur dengan kenyataan anggotanya sendiri yang menggelar beliau sebagai diktator kerana enggan melepaskan kuasa.

Mengulas lanjut, Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO berkata, begitu juga dengan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, yang didakwa meraih kekayaan semasa berada dalam UMNO, tidak mempunyai hak lagi untuk berkata apa-apa tentangnya.

Kata Unit lagi, UMNO beranggapan cubaan campur tangan itu bertujuan memporak-perandakan parti yang menjadi wadah perjuangan bangsa Melayu selama ini.

“Secara individu, UMNO meraih 54 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum lalu, membuktikan ia mampu berdiri sendiri tanpa gabungan politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.

“Pakatan Harapan bukan sebuah parti politik yang kukuh sebenarnya dan beranikah mereka meleraikan ikatan ini dan berdepan satu sama satu dengan UMNO?” katanya.

Oleh itu, Unit itu berkata, Pakatan Harapan tidak perlulah menjadi ‘kingmaker’ dan cuba mencatur apa yang patut dilakukan atau siapa yang harus menjadi pemimpin UMNO.

“Jangan jadi ayam jantan berkokok berderai-derai, tetapi ekor bergelumang tahi.

“Beri kami ruang menguruskan hal parti sendiri kerana kami yakin kepimpinan yang ada mampu menjanjikan masa depan yang lebih gemilang,” tambahnya. –Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com