Projek Kereta Nasional Mahathir tak sumbangkan faedah untuk rakyat

Hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berminat mahu memulakan sebuah lagi kenderaan nasional baharu disifatkan sebagai satu langkah regresif dan terkebelakang.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan menerusi Jemaah Menteri perlu memperhalusi cadangan ini sebaik-baiknya sebelum bersetuju untuk meneruskan projek ini.

Kata beliau, projek kereta nasional bukan hanya tidak mesra alam daripada segi pelepasan karbon dioksida, malah bakal mengeluarkan modal besar kepada kerajaan yang sewajarnya diberikan kepada pembangunan projek pengangkutan awam.

“Sejak 1984 Kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kewangan merangkumi pinjaman mudah dan geran berjumlah RM15.3 bilion kepada Proton.

“Projek kereta nasional seperti ini juga akan menambah kos kepada rakyat melalui duti eksais yang mencecah sehingga 105 peratus yang membebankan pengguna yang ingin membeli kereta jenama selain kereta nasional,” ujarnya.

Mahathir dalam sesi dialog Persidangan Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) di Tokyo, Jepun membayangkan Malaysia bakal mengeluarkan projek kereta nasional kedua setelah pemilikan Proton kini sebahagiannya telah dijual kepada syarikat China, Geely.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau, berkata projek kereta nasional Mahathir itu dilihat tidak menyumbangkan apa-apa manfaat kepada rakyat dan alam sekitar terutama dalam menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya.

“Ini juga banyak bergantung kepada kemampuan kita dalam mencapai ekonomi skala atau ‘economies of scale’.

“Kalau skala pengeluarannya kecil, sasaran impak ekonomi yang diingini mungkin tidak akan dicapai,” katanya.

Khairy berkata, kerajaan semasa sepatutnya perlu lebih memberi tumpuan kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam.

Tambah beliau, tumpuan juga harus diberikan mengenai langkah mengurangkan kos projek Aliran Transit Massa Fasa 3 (MRT3) supaya ianya dapat direalisasikan dan dalam masa sama meluaskan lagi sistem Bas Rapid Transit (BRT) yang tidak tertumpu di Lembah Klang sahaja. –Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com