Saman tak lagi berkesan halang kemalangan maut di jalanraya

Setiap tahun, masyarakat Malaysia akan disajikan dengan banyak berita kemalangan jiwa yang melibatkan nahas kemalangan jalan raya terutamanya menjelang hari perayaan.

Pihak berkuasa dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya telah melaksanakan saman sebagai langkah pencegahan.

Namun, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata tindakan mengeluarkan saman tidak lagi memberi kesan sebaliknya cara untuk mengurangkan kadar kemalangan adalah dengan mengenakan hukuman berat ke atas mereka yang memandu secara tidak berhemah di jalan raya.

“Mengeluarkan saman kepada mereka yang melakukan kesalahan bagi mengurangkan kesalahan jalan raya sudah tidak berkesan. Kerajaan mesti memikirkan cara lain untuk menangani masalah ini. Ia perlu mengambil langkah lebih tegas untuk menghukum pesalah jalan raya, walaupun langkah itu menerima kecaman banyak pihak,” katanya.

Jelasnya, kenderaan juga sepatutnya menjalani pemeriksaan teliti dan penguatkuasaan lebih tegas perlu dilakukan agar lebih mematuhi piawaian keselamatan yang telah ditetapkan.

“Selain itu, pihak berkuasa yang memantau penyelenggaraan jalan raya juga perlu sentiasa memastikan jalan raya berkeadaan baik dan menyediakan keadaan pemanduan yang selesa dengan cengkaman yang sesuai untuk kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed berkata hukuman mandatori juga harus dilakukan terhadap mereka yang memandu melebihi had laju dengan kerja komuniti di hadapan orang awam.

“Mereka perlu diarah melakukan kerja-kerja seperti membersihkan tempat awam, termasuk menyapu jalan dan mencuci tandas awam bagi tempoh masa tidak melebihi seminggu. Pesalah juga perlu diarah memakai vest yang mengenalkan diri mereka kepada orang awam sebagai pesalah yang menjalani hukuman bagi kesalahan lalu lintas.

“Hukuman dalam bentuk kerja komuniti telah berjaya dilaksanakan di Singapura melalui dasar ‘Corrective Work Order’ (CWO) yang meninggalkan kesan baik dalam mencegah kutu sampah dan mengurangkan perbuatan membuang sampah.

“CAP menggesa kerajaan supaya mengenakan peruntukan denda dan penjara ke atas pesalah jalan raya yang berpotensi menyebabkan kematian, termasuk memandu laju, mengekori dengan dekat dan memotong secara berbahaya. Bukan hanya pihak berkuasa, orang ramai juga tidak memandang berat dengan perkara ini.

“Oleh itu, kita menasihatkan pengguna agar berwaspada ketika di jalan raya, terutama apabila berada dalam perjalanan jarak jauh, tidak memandu ketika letih atau mengantuk, memandu pada waktu dinihari dan di sepanjang jalan dengan jarak penglihatan rendah pada waktu malam,” katanya. – utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com