Takut disabotaj, Kementerian Pendidikan beku semua pertukaran dan kenaikan pangkat

Kementerian Pelajaran Malaysia telah bekukan dengan serta-merta semua pemindahan dalaman dan pelantikan baharu yang membabitkan kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara.

Pemindahan dan kenaikan pangkat di JPN dan PPD yang berlaku dalam tempoh dua bulan yang lalu juga akan dikaji semula.

Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik yang mengumumkan perkara itu berkata keputusan itu dibuat selepas beliau menerima laporan percubaan untuk menempatkan pegawai yang masih setia kepada pemerintahan terdahulu dalam beberapa jawatan strategik di kementerian.

“Kami prihatin bahawa mungkin terdapat cubaan mensabotaj (agenda kerajaan Pakatan Harapan).

“Kita dapati terdapat unsur untuk menempatkan pegawai yang masih setia dengan rejim lama di pos-pos strategik di PPD dan JPN.

“Kita juga dapati rungutan dan aduan daripada ramai guru serta pihak terlibat bahawa mereka inilah yang sedang merancang untuk menguasai pos tertentu, dan ini agak membahayakan agenda pendidikan yang ingin kita bawa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak pandangan tentang percaturan yang terdapat unsur politik kepartian di peringkat negeri dan daerah, menerusi JPN dan PPD.

“Ini adalah perkara yang mengecewakan saya, kerana kita tidak mahu politik kepartian sempit mempengaruhi institusi pendidikan yang bakal membentuk masa depan anak-anak kita,” katanya.

Katanya lagi, dengan membekukan ini, beliau berharap rakyat mendapat mesej bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan apa-apa elemen amalan tidak sihat dalam pentadbiran pendidikan negara.

“Terutama mereka yang sengaja mahu menyukarkan kita mereformasi sistem pentadbiran negara agar selaras dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan.

“Ini agak penting demi memastikan apa yang ingin dibawa Pakatan Harapan dapat berjalan lancar,” katanya.

Maszlee berkata, kebanyakan kes yang dikesan berlaku di utara dan pantai timur tetapi beliau enggan memperincikan jumlah pegawai yang terlibat dalam pertukaran itu.- Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com