Benarkah zaman kegemilangan Anwar Ibrahim sudah berlalu?

Tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Kabinet, tapi telah berperanan bagaikan negarawan yang sentiasa sibuk untuk membina kembali negara dan mencampuri urusan Syariah Islam, kata penganalisis politik, Mohd Luttfi Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan bahawa orang bukan-Islam juga berhak untuk membahas tentang Rang Undang-Undang Syari’ah.

“Saya sempat menonton video ucapan Saudara Anwar Ibrahim sejurus selepas beliau keluar dari penjara Sungai Buloh. Di hadapan ribuan penyokong muda beliau berucap.

“Malangnya, tempoh belasan tahun di dalam penjara tidak mengubah apa-apa pada diri beliau. Ucapannya juga hanyalah sekadar satu ungkapan nostalgia “perjuangan” yang akhirnya gugur di tanah bak daun yang reput dan telah tamat tempoh hayatnya.

“Saudara Anwar Ibrahim berucap di hadapan ribuan penyokong muda yang disuap oleh juadah media sosial, permainan persepsi dan dibakar dengan semangat untuk menjatuhkan pemimpin yang dilabel korup dan zalim, (persis sepertimana yang pernah dilakukan oleh para pengikutnya terhadap Perdana Menteri satu ketika dahulu).

“Audiensnya bukan lagi audiens 20 tahun dahulu. Perjuangan menentang kezaliman pun cuma dapat bertahan tidak sampai 20 tahun pun.

‘Hakikat bahawa Saudara Anwar Ibrahim tidak berubah ialah kenyataan terkininya bahawa orang bukan-Islam juga berhak untuk membahas tentang Rang Undang-Undang Syari’ah,” katanya.

Baru-baru ini, dalam satu temuramah dengan The Star dan Sinar Harian, Anwar berkata, sebarang undang-undang, meskipun ia hanya kelihatan terpakai ke atas orang-orang Islam sahaja, akhirnya akan memberi kesan kepada orang bukan-Islam juga, dan justeru itu mereka (bukan-Islam) berhak untuk terlibat di dalam perbahasan mengenainya.

Penganalisis politik itu menyifatkan kenyataan Anwar itu hanyalah satu kenyataan sembrono.

Katanya, ia lahir dari satu kecenderungan yang lazim dapat dibaca pada kumpulan yang berprasangka dan bersangka buruk terhadap satu jenis perundangan yang sudah wujud sejak sekian lama, tidak pernah terbukti berkuatkuasa ke atas bukan-Islam malah boleh dianggap mencampuri bidangkuasa yang tidak dimilikinya.

“Bagaimana beliau (Anwar) boleh membuat kesimpulan bahawa perundangan ini (yang Rang Undang-Undang ini hanyalah untuk menambahbaik beberapa aspek teknikal sahaja) akan memberi kesan kepada bukan-Islam akhirnya?

“Dalil mana yang dipegangnya sebagai sandaran kepada kesimpulan yang pelik ini?

“Soal keselamatan Israel telah disentuh, undang-undang tentang homoseksualiti sebagai sesuatu yang lapuk sudah dikomen, sokongan Liberal Antarabangsa sudah diperolehi dan gelaran Muslim Democrat sudah dinikmati.

“Apa lagi di dalam Syariat Islam yang akan disasarkan oleh beliau selepas ini?,” katanya.

Mohd Luttfi berkata, sepatutnya Anwar memberi tumpuan sahaja segala usahanya ke arah hari untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri dari berlakon sebagai pemegang peranan utama dalam pentas politik Malaysia.

“Atau saudara ingin memangku jawatan Menteri Agama dan Menteri Kehakiman sekaligus ke?

“Pada pandangan saya, beliau tidak memiliki prinsip perjuangan Islam yang sejati mahupun agenda untuk memartabatkan Ummah,” katanya lagi. –Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com