Datin Anne Ngasri tawar diri sebagai Exco Puteri Umno

Tidak mempertahankan jawatan sebagai Ketua Puteri Bahagian UMNO Bukit Bintang, pelakon Datin Anne Ngasri mengesahkan beliau akan bertanding sebagai calon Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dalam pemilihan pergerakan sayap yang akan diadakan pada 23 Jun ini.

Adik kepada pelakon Bell dan Darling Ngasri itu menyandang jawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang sejak tahun 2013 hingga kini, sementara suaminya, Datuk Mohd. Sumali Reduan merupakan Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda UMNO.

“Saya memohon agar sahabat seperjuangan semua memberikan sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk terus memberi bakti kepada UMNO.

“Marilah kita sama-sama bersatu memulihkan parti kesayangan kita semua ini demi menegakkan syiar Islam di Malaysia,” katanya yang dipetik menerusi Instagram Puteri UMNO Bukit Bintang.

Anne juga meminta semua anggota UMNO tetap setia dengan perjuangan parti walaupun menghadapi kenangan yang agak perit dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Beliau berkata, semua pihak dalam UMNO harus cekal dan tabah dalam setiap ujian yang diterima memandangkan parti kini sebagai pembangkang.

“Setelah melalui kenangan pertama kali yang agak perit buat kita semua ahli UMNO pada pilihan raya lepas, saya mengharapkan agar kita semua tetap setia dengan parti dan perjuangannya.

“Istiqomah dalam beribadah agar kita berbakti dengan akhlak dan harus cekal serta tabah dengan setiap ujian yang bakal diterima oleh kita sebagai pembangkang,” kata Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, 34..

Dalam pada itu, Anne berkata, beliau menganggap penamaan dua lagi calon ahli exco iaitu Ketua Puteri UMNO Sipitang, Suzie Hamat dan Ketua Puteri UMNO Kota Marudu, Sharifah Lydia Sharif Dandan bukan sebagai persaingan tetapi rakan seperjuangan.

“Dua calon berkenaan adalah rakan-rakan saya juga.

“Saya tidak menganggap ia sebagai persaingan sebaliknya kami sama-sama bersemangat berjuang dengan matlamat dan misi untuk membantu parti,” katanya lagi. – Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com