Kerajaan akan kaji untuk kurangkan harga ikan laut

Kos sara hidup yang semakin meningkat membuatkan rata-rata rakyat Malaysia terpaksa berbelanja besar untuk membeli makanan. Antara makanan keperluan yang dibeli rakyat Malaysia adalah ikan laut.

Sehubungan itu, kerajaan yang prihatin dengan nasib rakyat Malaysia akan mengkaji mekanisme terbaik untuk memastikan harga ikan laut supaya lebih murah dan mampu dinikmati masyarakat terutamanya golongan kurang berkemampuan.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Penternak Ikan Laut Malaysia, Mohamed Razali Mohamed berkata, agak sukar mencari mekanisme terbaik untuk mengurangkan harga ikan laut kerana ia adalah sesuatu yang sangat kompleks.

Beliau berkata, ia kerana permintaan ikan laut adalah melebihi penawaran dan Malaysia pula adalah pengimport keempat terbesar dunia selepas Amerika Syarikat dan Eropah.

“Isu ini bukan senang, untuk kurangkan harga ikan atau mencari mekanisma atau jalan bagi menyelesaikan perkara ini juga bukan mudah seperti yang disangka.

“Kita kini memikirkan pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan bekalan ikan laut di negara ini mencukupi, kita boleh cuba untuk menangkap ikan yang lebih selepas ini.

“Kita juga boleh cuba import ikan dari negara luar seperti Indonesia dan Thailand tetapi pada masa yang sama perlu diingat mereka juga perlukan bekalan ikan mencukupi untuk rakyat mereka.

“Harga ikan pula meningkat berbeza-beza dan mendadak, ia bergantung kepada spesies ikan itu sendiri. Contoh ikan kembung, lima tahun dahulu ianya RM5 sekilo, kini RM12. Spesis ikan rakyat lain seperti selar kuning, cencaru yang menjadi pilihan rakyat juga kadang-kadang meningkat kerana permintaan tinggi,” katanya.

Jelasnya, kebiasaanya harga ikan laut tidak menentu kerana ia melalui musim dan cuaca dan harga ikan akan naik mendadak terutamanya ketika tengkujuh dan laut bergelora kerana menyukarkan nelayan untuk turun ke laut.

“Ketika itu permintaanya sangat tinggi dan bekalan yang sedia ada tidak mencukupi. Harga juga akan naik mendadak. Para nelayan sukar untuk turun ke laut seandainya musim tengkujuh atau laut bergelora.

“Jadi, kita memikirkan import adalah merupakan salah satu cara untuk memastikan bekalan ikan laut mencukupi, setakat ini itu merupakan antara cara terbaik,” ujarnya.- utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.