Negara tidak pernah kekurangan beras sejak Bernas mula ditubuhkan

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub sebelum ini berkata kerajaan akan menamatkan monopoli Syarikat Padi Beras Nasional (Bernas) sebagai pengeluar beras negara.

Bagaimanapun, Bernas berkata sistem beras negara sedia ada perlu dikekalkan berbanding ditamatkan untuk menjamin keselamatan makanan dan juga nasib petani.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernas, Ismail Mohamed Yusof berkata, tiada sebab monopoli Bernas perlu dihapuskan kerajaan kerana sepanjang ditubuhkan negara tidak pernah mengalami kekurangan beras.

“Kita perlukan ‘gatekeeper’ tunggal, kalau buka kepada semua orang dan import terlebih, pengeluar tempatan tidak dapat jual padi mereka,” katanya.

Jelasnya, tindakan menghapuskan monopoli dengan alasan mahu menjadikan harga beras lebih murah adalah tidak munasabah memandangkan harga beras di negara ini memang sudah murah.

“Semangkuk beras di Malaysia berharga 26 sen. Hendak murah bagaimana lagi?” soalnya sambil menambah, harga beras di Malaysia antara yang termurah di rantau ini.

Tambah Ismail, Bernas tidak pernah menjalankan perniagaan hanya memberi keutamaan kepada komersial sahaja tetapi turut mengambil perhatian tentang kebajikan petani

“Semua orang mahu cakap soal monopoli sahaja, soal kami jaga kebajikan petani tidak mahu dilihat,” katanya.

Selain itu, Ismail berkata kerajaan perlu melihat aspek yang lebih penting iaitu tentang keselamatan makanan.

“Kita masih ada pengeluaran tempatan jadi jika import terganggu. Ia masih selamat.

“Tetapi pengeluaran di Malaysia juga bermusim di setiap negeri dan kebanyakkan petani adalah berpendapatan kecil. Kita perlu jaga mereka,” katanya. -utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.