Operasi khas motosikal secara besar-besaran seluruh negara sempena Aidilfitri

Sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan operasi khas motosikal secara besar-besaran di seluruh negara bermula pada malam ini sehingga esok malam.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid memaklumkan, operasi itu dilakukan untuk memastikan penunggang motosikal mempunyai lesen serta motosikal yang mereka guna untuk pulang ke kampung halaman dalam keadaan selamat.

Beliau berkata, penunggang motosikal antara penyumbang utama dalam berlakunya kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri setiap tahun.

“Pada tahun lepas sahaja kemalangan melibatkan motosikal sahaja dianggarkan sebanyak 60 sehingga 65 peratus dan ia agak membimbangkan,” katanya.

Tambah Shaharuddin, pihaknya akan bertugas 24 jam dalam tempoh dua minggu hari raya akan datang dengan menempatkan pegawainya di 47 kamera awas di kawasan yang kerap berlaku kemalangan di seluruh negara.

Dalam pada itu, JPJ juga akan menempatkan anggotanya untuk menyamar sebagai penumpang bas ekspres untuk memantau pergerakan pemandu bas sekiranya mereka ada melakukan kesalahan.

Katanya, ia adalah sebagai usaha untuk membanteras pemandu bas yang memandu dalam keadaan mengantuk atau merokok.

“Usaha ini adalah sebagai untuk memantau mereka (pemandu bas ekspres) jika memandu dalam keadaan mengantuk atau merokok ketika memandu boleh dikenakan saman apabila mereka tiba di destinasi,” katanya. -utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com