Menteri sengaja cabar kedudukan bahasa melayu di Malaysia

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) meluahkan rasa kesal terhadap tindakan dua menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang bertindak menggunakan bahasa lain, selain bahasa Kebangsaan untuk urusan dan kenyataan rasmi kerajaan.

Ketua Sekretariat UMMAH, Aminuddin Yahaya berkata, tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran menggunapakai bahasa ibunda masing-masing untuk urusan rasmi kerajaan disifatkan bercanggah dengan manifesto PH.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, manifesto kerajaan PH sebelum ini berjanji memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan yang diiktiraf di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Aminuddin berkata, walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap tindakan Guan Eng itu hanya kesilapan kecil, UMMAH berpendapat menteri berkenaan sengaja mencabar kedudukan bahasa Melayu dengan mengangkat bahasa lain untuk urusan rasmi.

“UMMAH ingin mengingatkan bahawa Suruhanjaya Reid sebagai suruhanjaya yang berperanan mengesyorkan perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

“… dalam perenggan 171 Laporannya pada tahun 1957 telah dengan tegas menyatakan bahawa pengucapan bahasa Cina dan India seharusnya dielakkan selagi mungkin, dan bukan dijadikan sebagai aturan umum untuk digunakan dalam urusan rasmi,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyelar tindakan M Kula Segaran mengguna pakai bahasa Tamil dalam sidang media ketika sesi soal jawab daripada wartawan.

Video memaparkan Menteri Sumber Manusia itu berbahasa Tamil ketika sidang media kementerian berkenaan, tular di media sosial sejak semalam.

Aminuddin berkata, walaupun wartawan mengajukan soalan dalam bahasa lain, namun sebagai menteri yang mewakili kerajaan, Kula Segaran bertanggungjawab memberikan penerangan dan jawapan dalam bahasa Kebangsaan supaya difahami rakyat keseluruhannya.

“Kebiadaban dan kelancangan seperti ini perlu dihentikan dengan serta-merta.

“Tidak masuk akal jika mana-mana organisasi media menghantar wartawan yang tidak fasih dalam bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, atau bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, ke majlis sidang media rasmi kerajaan,” katanya.

sumber Ismaweb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.