Zahid diramalkan menang selesa jawatan Presiden UMNO

Akhbar Sin Chew Daily meramalkan bahawa Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal memenangi saingan merebut jawatan Presiden Umno yang akan berlangsung Sabtu ini.

Ramalan itu dibuat berdasarkan keputusan pemilihan daripada 191 bahagian di seluruh negara serta ketiga-tiga sayap parti kelmarin.

Menurut akhbar berkenaan, bagi jawatan Ketua Pemuda, kekalahan Khairul Azwan Harun kepada bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi tamparan hebat kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang akan menentang Ahmad Zahid.

“Khairul Azwan adalah orang kanan Khairy Jamaluddin. Kekalahannya sudah pasti tidak akan memihak kepada bekas Ketua Pemuda itu untuk bertanding kerusi presiden,” lapor akhbar ini.

Dalam pada itu, seramai 74 ketua bahagian yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan bahagian di seluruh negara juga menjadi satu lagi faktor Ahmad Zahid dilihat tidak sukar untuk menduduki kerusi No 1 dalam Umno.

“Rata-rata ketua bahagian yang ada pada hari ini adalah penyokong kuat kepada pucuk pimpinan parti sekarang. Ahmad Zahid akan memperoleh sokongan kuat daripada ketua-ketua bahagian ini,” kata akhbar ini.

Antara ketua-ketua bahagian yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan kali ini termasuk bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan); Ahmad Zahid (Bagan Datuk); Pemangku Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Hissamuddin Hussein; Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman (Pengerang) dan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas).

Pada pemilihan tahun 2013, Ahmad Zahid memperoleh undi tertinggi untuk jawatan Naib Presiden. Dengan kebanyakan ketua bahagian mengekalkan jawatan masing-masing akan mengukuhkan lagi kedudukan Ahmad Zahid biarpun turut dicabar oleh veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Kemenangan 74 ketua bahagian tanpa dicabar itu dianggap keputusan signifikan dari majoriti ahli Umno yang masih mempercayai kepimpinan sedia ada didalam parti melayu terbesar didalam negara terbabit.

Umno kini kekal menjadi tunjang kepada BN yang masih memperjuangkan nasib Melayu. Begitu juga dengan MCA dan MIC yang masing-masing dianggotai kaum Cina dan India.

Dengan barisan kepimpinan baru didalam UMNO nanti, parti keramat melayu itu diharapkan mampu memberikan imej baharu kepada rakyat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Dan dengan kecelaruan politik didalam kerajaan Pakatan Harapan ketika ini khususnya didalam parti komponen melayu mereka, UMNO diyakini akan mampu kembali menerima sokongan daripada rakyat. – UN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.