Kerajaan PH gagal turunkan harga barangan walaupun sifarkan GST

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, tidak menafikan bahawa penurunan harga barangan selepas pelaksanaan GST pada kadar sifar masih belum lagi menjadi kenyataan. Beliau juga menasihatkan pengguna menjadi “mata dan mulut” kepada pihak berkuasa untuk mengatasi masalah itu.

“Pengguna perlu bersikap proaktif supaya peniaga tidak mengambil kesempatan dalam hal ini. Jika buat laporan terhadap pihak berkuasa mengenai salah laku peniaga, tolong sertakan sekali maklumat lanjut termasuk bukti transaksi untuk memudahkan siasatan oleh pihak penguat kuasa.

“Penguatkuasaan perlu diperhebatkan dengan memantau harga barangan di premis perniagaan untuk memastikan enam peratus GST itu tidak dikenakan lagi terhadap barangan,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) Datuk Jacob George pula berkata pihaknya mendapati tidak ada petunjuk jelas akan adanya penurunan harga bagi barangan seperti yang dikatakan menteri itu.

“Hasil pemerhatian pihak kami hampir di seluruh negara dan juga melalui pertemuan dan perbincangan dengan golongan sasar termasuk pengguna, tiada sebarang perubahan harga terhadap barangan seperti yang dikatakan. Kalau ada pun cuma satu atau dua barangan sahaja,” katanya.

Tambah beliau, kenyataan menteri tentang penurunan harga barangan itu adalah tidak realistik.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail membuat kenyataan bahawa 70 peratus daripada barangan keperluan menyaksikan penurunan harga sejak pelaksanaan GST pada kadar sifar dan ini diragui pelbagai pihak.

Beliau berkata penurunan harga barang dikesan berdasarkan tinjauan kementerian dari 1 Jun sehingga 30 Jun lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.