LGBT – Wakil DAP tak puas hati dengan Mujahid

“Rakyat Malaysia, termasuk Pang dan Nisha telah mengundi kerajaan Pakatan Harapan kerana percaya ia akan memelihara hak semua rakyat sepertimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Akan tetapi kita telah menghampakan mereka, sekali lagi.”

Demikian kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita, Menara.com.

Wakil DAP itu juga melahirkan rasa tidak puas hatinya dengan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang telah mengarahkan pihak penganjur Festival George Town untuk menurunkan potret aktivis LGBT Pang Khee Teik dan Nisha Ayub.

Charles Santiago turut mengarahkan supaya potret Pang dan Nisha Ayub dinaikkan kembali serta merta dengan menegaskan mereka adalah pejuang hak asasi manusia.

Beliau turut menyatakan bahawa beliau amat berbangga untuk menggelarkan mereka sebagai sahabat. Menurutnya lagi, pihak kerajaan telah mengkhianati kepercayaan kedua-dua pejuang hak LGBT yang telah pun mengundi kerajaan Pakatan Harapan baru-baru ini.

Ahli Parlimen DAP tersebut juga menegaskan solidaritinya dengan kedua-dua tokoh pejuang LGBT tersebut, yang diungkapkannya sebagai “sahabat-sahabat yang telah berjuang dan akan terus berjuang untuk Malaysia yang bersifat inklusif”.

Dalam sebuah kenyataan akhbar, beliau menegaskan, “Samada ia adalah kerana arahan daripada Jabatan Perdana Menteri atau tekanan daripada golongan pembenci LGBT, gambar-gambar tersebut mesti dinaikkan tanpa bertangguh lagi.”

“Oleh itu adalah melampau kerana penganjur Festival George Town Joe Sidek dan jurugambar Mooreyameen Mohamad telah dipaksa untuk menurunkan gambar Pang Khee Teik dan Nisha Ayub dari pameran “Stripes and Strokes” itu.”

Insiden ini menurutnya, menggambarkan isu yang lebih besar di mana rakyat Malaysia secara berterusan menafikan hak komuniti LGBT dan memilih untuk mengkesampingkan serta mendiskriminasikan mereka.

“Ini sangat mengecewakan kerana kita semua percaya yang kita kini ialah rakyat kepada New Malaysia atau Malaysia Baru..” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com